TELUK INTAN – Seorang wanita berstatus janda anak tiga dan seorang duda dicekup oleh pegawai serta anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah rumah di sini, pada Isnin minggu lalu.
Menurut sumber, pasangan yang masing-masing berusia 38 dan 22 tahun itu dipercayai telah tinggal bersama di rumah berkenaan tanpa sebarang ikatan sah sejak dua bulan lalu
“Berdasarkan soal siasat, mereka tinggal serumah akibat dipercayai menghadapi masalah keluarga.
“Dimaklumkan, keluarga wanita tersebut tidak bersetuju dengan keputusan dia untuk berkahwin dengan duda berkenaan atas faktor usia lelaki itu yang terlalu muda (jarak usia),” katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya lagi, kedua-dua individu berkenaan kini disiasat mengikut peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, kertas siasatan juga telah lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah bagi tujuan pendakwaan di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.
“Kes ini lazimnya selepas ditahan akan disiasat terlebih dahulu sebelum diberikan bon untuk dilepaskan dengan jaminan sementara proses perundangan berjalan.
“Kes mereka diklasifikasikan sebagai bersekedudukan di bawah Seksyen 51 atau khalwat mengikut Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992,” katanya.
Tambahnya, jika sabit kesalahan, kedua-dua individu berdepan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu video berdurasi lebih daripada seminit yang dimuat naik akaun TikTok Penguatkuasa Agama Teluk Intan meraih perhatian ramai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tinggal bersendirian alasan pelajar ketika dicekup khalwat


