‘Jangan biar diri terjerat dalam polemik permusuhan sesama masyarakat’ – Saarani

IPOH – Majoriti rakyat masih percaya bahawa semangat perpaduan yang disemai adalah kunci kepada kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semangat muhibah itu dapat dirasai apabila tibanya perayaan melibatkan setiap kaum di negara ini.

Katanya, oleh itu saranan kepada mempertahankan nilai perpaduan kini kembali didengari tatkala masyarakat sering terheret dalam isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama sejak kebelakangan ini.

“Polemik dan perdebatan yang timbul mencetuskan prasangka serta kesangsian sehingga menguji semangat toleransi dalam kalangan rakyat.

“Lebih parah lagi, platform media sosial yang sepatutnya menjadi pelantar bagi menyebar nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang, kini dijadikan sarang untuk menanam bibit-bibit persengketaan, dan memacak duri-duri permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Rabu.

‘angan biar diri terjerat dalam polemik permusuhan masyarakat menteri besar perak Saarani perpaduan majmuk rakyat sultan perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis yang dihadiri 20,000 pengunjung itu.

Dalam pada itu Saarani berkata, semua pihak harus memasang tekad dan kesungguhan untuk membina kesatuan serta memelihara nilai-nilai perpaduan.

Menurut beliau, ini kerana keamanan yang dikecapi hari ini terlalu mahal harganya dan tiada galang ganti.

“Kita sedang mendiami dunia yang bergumpal dengan segala macam cabaran yang menuntut kita mengambil sikap positif dan bertanggungjawab.

“Jangan sesekali membiarkan diri kita terjerat dalam polemik yang hanya akan membawa kepada permusuhan.

“Sama-samalah mencari jalan untuk lebih mendamaikan, bukan memecahbelahkan,” ujar Saarani.

Pada masa sama, beliau berkata, majlis sambutan hari raya yang dihadiri masyarakat daripada berbilang kaum itu membuktikan kepelbagaian tidak pernah menjadi halangan kepada keharmonian dan keamanan di negara ini, termasuk Perak.

“Begitulah indahnya nikmat perpaduan, sehinggakan jurang perbezaan antara kaum tidak pernah mengekang kita untuk sama-sama menjulang dan memaknakan semangat muhibbah, dengan menikmati kemeriahan serta kemanisan Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin tunai solat sunat Aidilfitri bersama 1,000 jemaah di Kuala Kangsar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI