Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan orang Islam di majlis bukan muslim

IPOH – Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau hipotesis yang berkemungkinan boleh mencetuskan polemik hubungan antara kaum dan agama dalam negara ini mengenai isu garis panduan pembabitan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian bukan Muslim.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, niat suci penggubal garis panduan bagi penglibatan orang Muslim untuk berada di dalam majlis bukan Muslim tidak diragui sama sekali kerana ia sebagai panduan dan bukan bersifat perundangan atau penguatkuasaan.

Menurutnya, sehingga kini, garis panduan itu hanya diketahui melalui kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama tanpa memperincikan apa yang terkandung di dalam garis panduan tersebut.

Tambahnya, secara umum, majlis bukan Islam yang dihadiri orang Islam hanyalah bersifat budaya, sosial dan campuran agama, kebudayaan atau sosial.

“Adapun majlis agama atau upacara tertentu bagi bukan Muslim jelas tidak memerlukan kehadiran orang Islam kerana tiada keperluan dan ia bercanggah dengan prinsip syariat Islam.

“Jika perlu sekalipun ia mestilah dijustifikasikan kepada orang Islam tertentu dan atas keperluan tertentu dan dengan mengikuti adab-adab tertentu sebagai seorang Islam seperti mana ditetapkan dalam Fiqh Hubungan Antara Agama.

“Secara umum, seseorang Muslim berpegang kepada konsep ‘lakum dinukum wali yadin’ (Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku).

“Ini bermakna seorang Muslim tidak boleh mengiktiraf, meraikan atau mengikuti mana-mana upacara ibadat bukan Islam atas apa jua alasan sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata, penegasan perkara itu bukan bermakna seorang Muslim tidak menghormati apa saja upacara yang hendak dilakukan jika ia adalah tuntutan daripada agama itu atas konsep ‘la ikraha fid din.’

“Secara siyasah syariah, panduan adab Muslim dalam hubungan bukan Islam juga ditentukan oleh undang-undang dalam negara dan keperluan mana-mana pemimpin Muslim untuk hadir dalam maslahah yang lebih besar dengan tetap berakhlak menepati adab-adab seorang Muslim.

“Pihak bukan Muslim seharusnya turut memahami kehendak ini dan lebih sensitif untuk tidak melanggar batasan ini.

“Kita perlu memahami dalam konteks hubungan antara agama adanya ruang eksklusif yang dilarang dan ruang inklusif yang diharuskan serta memahami ruang keperluan dan ketidakperluan. Dalam semua keadaan syariat Islam menyediakan adab dan akhlak yang mulia,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kabinet akan membincangkan cadangan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara, termasuk di rumah ibadat bukan Islam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mujahid minta MCA tidak politikkan isu sekatan jualan arak di Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI