Jangan muat naik kandungan semata-mata demi content’ – Fahmi

PUTRAJAYA – Para pempengaruh dan pembangun kandungan digital perlu berpegang kepada tanggungjawab dalam memuat naik sebarang kandungan di laman sosial media mereka.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, golongan itu seharusnya menghasilkan kandungan berasaskan fakta, bukannya didorong emosi semata-mata.

Beliau mengambil contoh dalam kes pelajar Zara Qairina Mahathir yang mana terdapat pempengaruh dan pembangun kandungan digital yang berkongsi berkenaan dakwaan pelajar berkenaan dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga menimbulkan kegemparan awam.

Begitu juga, menurut beliau, dakwaan yang dibuat oleh seorang individu kononnya `pakar patologi’ yang terlibat dalam proses bedah siasat Zara Qairina yang disebar luas menerusi platform media sosial seperti TikTok.

Bagaimanapun, jelasnya, selepas siasatan dijalankan, semua kandungan itu dihasilkan dan dimuat naik semata-mata bagi tujuan `content’ atau untuk menarik perhatian netizen tanpa memikirkan kesan atau akibatnya.

“Saya lihat banyak daripada kandungan yang kita tonton di dalam media sosial ini bukan selalunya betul.

“Para pempengaruh seperti ini (dalam kes Zara Qairina), mereka tidak mempunyai rasa kebertanggungjawaban dalam menghasilkan kandungan di media sosial mereka.

“Jadi, saya menyeru dalam kita menghasilkan kandungan dalam talian ini, biarlah ia mempunyai asas dan fakta, bukan emosi semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran saluran radio, Peduli Radio di Putrajaya Sentral di sini, hari ini.

Peduli Radio yang dimiliki syarikat Peduli Insaf Radio Sdn. Bhd. merupakan saluran radio komuniti pertama negara yang memberi tumpuan kepada penyaluran maklumat berkaitan misi bantuan dan pembangunan komuniti melalui radio online.

Mengulas mengenai pelancaran Peduli Radio, Fahmi berharap kandungannya tidak hanya tertumpu kepada hiburan seperti muzik semata-mata, tetapi turut mengangkat soal kebajikan; isu-isu rakyat serta nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berharap saluran radio itu mampu menarik minat generasi muda hari ini atau turut dikenali generasi alfa yang sangat pantas dalam perubahan teknologi termasuk radio online.

“Saya juga memahami cabaran yang dihadapi stesen radio yang berdepan pelbagai masalah seperti kewangan dan sebagainya.

“Jadi, pengurusan Peduli Radio perlu bersedia berdepan dengan perubahan-perubahan dalam industri ini khususnya dalam memenuhi kehendak generasi muda dengan memahami kandungan yang sesuai dengan cara mereka berfikir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI