Jangan normalisasikan derma syarikat arak kepada sekolah – Anuar

KUALA LUMPUR – Sumbangan derma daripada syarikat berkaitan arak untuk mana-mana sekolah tidak wajar dinormalisasikan memandangkan pelajar sekolah masih di bawah umur.

Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, garis panduan yang melarang sekolah menerima derma daripada syarikat berkaitan arak, judi dan rokok juga sepatutnya terpakai kepada semua sekolah.

Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah, derma daripada syarikat-syarikat itu jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya hidup sihat yang diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

“Di sekolah, kita mendidik anak-anak supaya menjauhi arak dan rokok kerana membahayakan kesihatan.

“Dari perspektif agama pula, di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) juga ada ramai pelajar beragama Islam, maka adalah sangat tidak wajar pembabitan syarikat arak, judi dan tembakau di sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tambah Anuar, kerajaan juga telah lama melarang tajaan syarikat berkaitan rokok dalam acara sukan untuk orang dewasa dan larangan sama sepatutnya lebih tegas dilaksanakan di sekolah.

Sehubungan itu, beliau menyokong ketegasan Kementerian Pendidikan (KPM) yang melarang derma daripada syarikat arak, judi dan rokok untuk sekolah dan berharap garis panduan tersebut dipertahankan.

“Sekolah bukan lagi sekolah jika benarkan normalisasi ini berlaku. Jika dahulu ia sudah dilakukan, sekarang adalah masa untuk perbetulkan kesilapan tersebut.

“Ini juga berkait soal kesihatan kanak-kanak dan nilai budaya masyarakat keseluruhannya,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Sehubungan itu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan memandang serius perkara tersebut dan sedang melakukan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI