Jangan ‘over’, berlagak ulama, anggap Melayu bodoh, Halim selar Kor Ming

JOHOR BAHRU – UMNO Johor mengingatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga kor Ming yang mempertahan hidangan arak dalam majlis kerajaan supaya tidak terlalu over, selain menghormati Islam sebagai agama rasmi.

Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, adalah tidak wajar apabila wakil rakyat DAP itu mahu isu tersebut tidak diperbesarkan dengan alasan boleh jejaskan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu menegaskan, alasan tersebut hanya menunjukkan sikap terlalu naif dan tunduk dengan tekanan luar sekali gus menunjukkannya gagal fahami denyut nadi umat Islam di Malaysia.

“Negara Islam lain seperti Arab Saudi, Brunei dan beberapa negara Timur Tengah jauh lebih tegas dalam hal ini, tapi pelancong tetap datang.

“Bagi saya, ini bukan soal ‘nak cari gaduh’ atau ‘tak faham etika antarabangsa’, tapi lebih penting, ia soal menghormati agama rasmi negara iaitu Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa, Kor Ming seolah-olah cuba menggambarkan bahawa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu Islam, bodoh atau tidak matang dalam memahami etika acara antarabangsa.

Hakikatnya ujar Halim, umat Islam di Malaysia sudah lama hidup bersama-sama dengan kepelbagaian kaum dan budaya, faham tentang adat dan norma global.

“Tapi dalam masa yang sama ada ‘garis merah yang kita tak boleh langgar’. Bila majlis itu dianjurkan atau dinaungi oleh kerajaan, ada tanggungjawab moral dan agama untuk pastikan tiada perkara yang bertentangan dengan Islam berlaku di bawah panji kerajaan sendiri.

“Jangan nak jadi ‘ulama’ kepada apa yang kononnya isu besar atau kecil bagi umat Islam. Isu arak bukan isu kecil, ia soal prinsip, maruah dan hormat kepada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Kor Ming boleh cuba beri 1,000 alasan tetapi rakyat tidak bodoh.

“Bila majlis kerajaan ada arak, rakyat nampak itu sebagai kecuaian bukan kebetulan. Jangan cuba tegakkan benang basah dengan retorik ‘kita terbuka dan bertoleransi’ sebab toleransi bukan bermakna tunduk kepada perkara yang salah,” katanya.

Menurut beliau, semasa zaman Barisan Nasional (BN) memerintah lebih 60 tahun, tidak pernah pun isu tersebut timbul.

“Kalau ada pun, ia dikawal ketat dan jelas dipisahkan daripada acara rasmi. Tapi bila tiba zaman Pakatan Harapan, tiba-tiba muncul pula idea pelik, kononnya ‘normal’ hidang arak sebab ia acara antarabangsa. Nak tanya balik, sejak bila ‘normal’ itu jadi alasan untuk langgar dasar Islam,” soalnya.

Semalam Kor Ming mempertahankan tindakan hidang arak dalam majlis yang dinaungi Tourism Malaysia serta menganggapnya sebagai isu kecil dan menasihatkan tidak besarkan isu tersebut.

Pengerusi DAP Perak itu berkata, sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang budaya, Malaysia perlu menunjukkan keterbukaan serta kematangan dalam urusan diplomatik dan pelancongan antarabangsa.

“Dalam majlis rasmi bertaraf antarabangsa, penyediaan minuman beralkohol adalah sebahagian daripada etika dan adat global (international etiquette). Tiada paksaan untuk mana-mana tetamu menjamahnya, justeru isu ini wajar ditangani secara rasional dan terbuka,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.

Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam hidangan arak pada majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni San Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang hadir menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan majlis tersebut adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI