IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan erti kemerdekaan dan menghayati penderitaan yang dialami pejuang terdahulu, sambil menegaskan bahawa perjanjian yang telah dipersetujui tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Titah baginda, perbuatan itu disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain, serta dipengaruhi oleh api perselisihan yang semakin dinyalakan melalui retorik politik yang memilih untuk mengeksploitasi isu kaum dan agama.
Baginda bertitah, usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.
Sultan Nazrin turut bertitah bahawa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya serta menguasai pelbagai bahasa, wajib memperkukuhkan sikap sederhana dan amalan bertoleransi.
“Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Di samping mengenali batas sempadan tidak mengusik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak 1447H/2025M yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan bahawa salah satu nikmat kurniaan Ilahi ialah menjadikan umat manusia berbilang bangsa agar saling berkenalan dan beramah mesra.
“Kepelbagaian ini mengajak seluruh umat berusaha memahami adat dan tradisi kaum lain dengan sifat penuh hormat dan menghargai antara satu sama lain, terbit daripada nilai takwa dalam jiwa seorang Mukmin,” titah baginda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak