KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak menangguhkan pelaksanaan kemasukan awal persekolahan kerana langkah itu penting bagi menjamin masa depan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dalam pelaksanaan kemasukan murid ke tahun satu pada umur enam tahun kerana 137 negara di dunia atau lebih 71 peratus telah melaksanakan dasar tersebut.
Lagipun, kemudahan asas seperti sekolah dan guru telah disediakan untuk melaksanakan dasar ini.
Anwar berkata, sebanyak 10,514 bilik darjah prasekolah di 6,469 institusi telah diperluaskan, termasuk pembinaan 150 bilik darjah pada tahun 2025 dan 350 bilik darjah prasekolah baharu pada tahun 2026.
Persiapan besar itu turut melibatkan kos yang tinggi, dengan kerajaan merancang penambahan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi tahun ini, hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan.
Peruntukan tersebut katanya, bertujuan memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan seramai 18,000 guru baharu bagi menampung peningkatan kapasiti pendidikan prasekolah.
“Setakat ini, kapasiti prasekolah kerajaan berjumlah 110,889 tempat, meliputi institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
“Semua pelajar yang cukup umur enam tahun masuk sekolah dan isu utamanya ialah sama ada kemudahan dan guru disediakan. Kemudahan ada, guru ada. Nak kata sempurna semua, mungkin tidak, tetapi saya tidak fikir kita jauh ketinggalan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau) apakah kajian terperinci telah dibuat mengenai rasional dan kriteria data penentuan usia kemasukan murid tahun satu sama ada pada usia enam tahun atau tujuh tahun, serta tahap kesiapsiagaan kerajaan bagi pelaksanaan dasar tersebut termasuk implikasi kepada kebajikan murid.
Anwar juga mengakui masih terdapat beberapa kekangan terutama melibatkan kesesakan sekolah di kawasan bandar.
Menurut Anwar, tujuan utama pelaksanaan dasar itu untuk memberi ruang pembelajaran sebaik mungkin kepada anak-anak seawal usia enam tahun tanpa melalui proses penilaian yang rumit.
Mengulas lanjut, perdana menteri menegaskan, walaupun pada peringkat awal terdapat cadangan daripada kementerian supaya pelaksanaan ditangguhkan setahun namun beliau tidak bersetuju kerana ia akan menyebabkan anak-anak kehilangan satu tahun pembelajaran yang berharga.
“Anak-anak generasi sekarang jauh lebih dewasa, lebih pintar dan lebih peka. Jangan kita guna tahap pemikiran lama. Yang penting, beri pendedahan kepada mereka,” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai kesiapsiagaan guru, Anwar berkata, proses pengambilan guru sedang berjalan bagi memenuhi keperluan, khususnya di peringkat pendidikan terlibat.
Namun, beliau mengakui tidak semua sekolah mampu melaksanakan sistem satu sesi dalam masa terdekat berikutan masalah kepadatan pelajar, terutama di bandar.
Tetapi katanya, isu itu perlu ditangani segera dan tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan.
Meskipun begitu, Anwar menjelaskan, kemasukan awal itu belum diwajibkan pada peringkat permulaan bagi memberi ruang kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar mereka mengambil peluang tersebut demi kepentingan anak-anak.
“Sebagai bekas guru, saya sarankan ibu bapa cuba penuhi keperluan itu. Tetapi buat masa ini, kita tidak wajibkan,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan itu bukan sesuatu yang merugikan, sebaliknya wajar diberi sokongan semua pihak kerana negara perlu mengambil langkah proaktif dan berani untuk maju.
Pelaksanaan awal akan bermula bulan ini dan dijangka dipertingkatkan sekitar dua bulan selepas Hari Raya, dengan tempoh kelonggaran satu hingga dua bulan diberikan bagi pendaftaran supaya tidak membebankan ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak kecil.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang meneliti semua aspek termasuk peruntukan dana, persiapan kurikulum dan penerimaan ibu bapa bagi memastikan pelaksanaan dapat dilakukan sebaik mungkin.
Peruntukan tersebut, katanya, bertujuan memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan seramai 18,000 guru baharu bagi menampung peningkatan kapasiti pendidikan prasekolah. – MalaysiaGazette


