IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar dan suara beliau melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menawarkan wang tunai dan meminta mangsa menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.
Beliau berkata sejak petang semalam, pihaknya menerima banyak aduan mengenai beberapa video di platform berkenaan yang seolah-olah memaparkan tawaran wang ringgit daripada beliau, sedangkan perkara itu tidak benar.
“Akaun TikTok terbabit bukan milik saya dan segala tawaran yang dibuat juga tidak benar, saya memohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang transaksi dengan pihak yang tidak dikenal pasti.
Ad Banner
“Segala bentuk bantuan kerajaan hanya akan diumumkan melalui akaun media sosial rasmi Menteri Besar dan saluran rasmi kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saarani berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau membuat aduan kepada platform media sosial terbabit sekiranya ternampak akaun palsu berkenaan bagi mengekang penipuan digital daripada terus berleluasa.
— BERNAMA