IPOH – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditemui meninggal dunia di dalam longkang berhampiran sebuah padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril di sini pada Ahad dipercayai terjatuh dari tempat tinggi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.45 pagi.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah pada bahagian mulut.
“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia Gazette (MG) Perak melaporkan seorang lelaki berusia 19 tahun ditemukan maut di dalam longkang berhampiran rumahnya di Taman Menglembu Impiana Adril di sini.
Artikel Berkaitan:


