PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung satu sepanduk dengan terjemahan ayat al-Quran yang digunakan bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata JAWI diarah mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang susulan tular sepanduk dengan terjemahan ayat suci Al-Quran yang digunakan secara salah.
“Saya menegaskan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular satu sepanduk di media sosial yang memaparkan terjemahan ayat al-Quran yang diselewengkan untuk menyokong agenda budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara.
— BERNAMA


