JBPM Perak keluar 76 kompaun sepanjang 2023

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerusi Bahagian Penyiasatan Kebakaran telah mengeluarkan sebanyak 76 kompaun yang dilaksanakan di peringkat balai, zon dan ibu pejabat sepanjang 2023.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saadon berkata, daripada jumlah itu, kutipan keseluruhan kompaun yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM7,600.

Menurutnya, bagi pendakwaan di mahkamah, cawangan pendakwaan telah membawa 12 kes untuk didakwa  pada tahun lalu.

“Sejumlah 67 pertuduhan dikenakan kepada pemilik premis melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 10, 26 dan 3 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Ini termasuklah dikenakan denda tambahan RM10 sehari bagi premis yang masih lagi tidak mematuhi notis menghapus bahaya kebakaran.

“Keseluruhan kutipan dendaan kumulatif yang telah berjaya dikumpul oleh cawangan pendakwaan adalah sebanyak RM114,600,” katanya.

JBPM Perak keluar 76 kompaun sepanjang 2023
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika memeriksa perbarisan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 JBPM Perak dan Pemakaian Tanda Pangkat di Dewan Premier Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 JBPM Perak di Dewan Premier Ibu Pejabat JBPM Perak, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Sayani berkata, bagi tahun 2024, bahagian tersebut turut merancang untuk menyiapkan pembinaan makmal penyiasatan kebakaran dan telah mengambil bangunan sedia ada di Bangunan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di dalam kompaun Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh.

Sementara itu, menyentuh aspek operasi bagi tahun lalu, beliau berkata, JBPM Perak telah menerima sebanyak 9,309 panggilan kecemasan melibatkan kes kebakaran (2,141) dan kes penyelamatan (7,168) serta 148 kes melibatkan lain-lain tugas khas.

“JBPM Perak juga telah berjaya mencapai peningkatan sebanyak 72.27 peratus berbanding 68.15 peratus pada tahun 2022 di bawah pencapaian ‘respond time’ bawah 10 minit

“Dari sudut keselamatan kebakaran kita berjaya melaksanakan 3,545 aktiviti kemasyarakatan seperti ceramah, kempen bersama masyarakat dan pendidikan awam di seluruh negeri perak yang melibatkan secara keseluruhan seramai 482,827 peserta,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPKT sasar tubuh Bomba Komuniti residensi PR1MA seluruh negara

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI