Jejak warisan di Galeri Panglima Kinta

BERDIRI berhampiran tebing Sungai Kinta, Masjid Panglima Kinta yang cukup terkenal dalam kalangan penduduk Ipoh itu menjadi lambang perkembangan dan keindahan seni bina Islam pada abad ke-19.

Namun, masjid yang berusia 127 itu juga unik apabila ia menempatkan sebuah galeri yang mendokumentasi seperti sejarah awal berkaitan Datuk Panglima Kinta Ke-10, Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof Lasam dan pembangunan Bandar Raya Ipoh secara umum.

Galeri Panglima Kinta Ipoh Masjid Panglima Kinta, sejarah Ipoh, Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof, galeri sejarah Ipoh, pelancongan warisan Perak, tarikan pelancongan Ipoh
Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Galeri Panglima Kinta yang dibuka kepada orang ramai sejak beberapa tahun lalu memberi peluang kepada pengunjung untuk menyoroti kisah dan sumbangan tokoh berkenaan.

Pemandu Pelancong Masjid Panglima Kinta, Nazrin Abdullah, 62, berkata, galeri tersebut diwujudkan untuk memperkenalkan salasilah keturunan Datuk Panglima Kinta, adat istiadat pelantikan, selain menonjolkan jasa Mohamed Yusof kepada masyarakat.

Pemandu pelancong, Nazrin Abdullah, 62, memberi penerangan mengenai Baur Panglima Kinta ketika temubual bersama MG Perak di Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Malah katanya, Mohamed Yusof juga merupakan figura penting yang memainkan peranan dalam pembangunan awal Ipoh serta pembinaan Masjid Panglima Kinta itu sendiri.

“Galeri ini menceritakan serba sedikit tentang Mohamed Yusof yang membina Masjid Panglima Kinta. Malah, tujuan asal pembinaan masjid ini juga adalah sebagai tanda kasih kepada isterinya.

“Keunikan galeri ini terletak pada penceritaan mendalam berkenaan salasilah Datuk Panglima Kinta. Pengunjung dapat menelusuri asal-usul keturunan tokoh ini yang dikaitkan dengan susur galur Kesultanan Perak,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, baru-baru ini.

Galeri Panglima Kinta Ipoh Masjid Panglima Kinta, sejarah Ipoh, Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof, galeri sejarah Ipoh, pelancongan warisan Perak, tarikan pelancongan Ipoh
Antara koleksi yang dipamerkan di Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Menurut Nazrin, antara bahan pameran yang menjadi tarikan utama di galeri ialah koleksi senjata lama seperti Lembing Kerajaan, Keris Seri Gading, Baur Panglima Kinta, pakaian istiadat, tabuh lama Masjid Panglima Kinta dan sebagainya.

Jelas beliau, selain bahan visual seperti carta salasilah keturunan Datuk Panglima Kinta, sebahagian bahan pameran yang ditempatkan adalah asli manakala ada juga yang berupa replika.

Kronologi penempatan awal masyarakat Melayu di Ipoh dipamerkan di Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Ujar Nazrin, galeri berkenaan turut memaparkan peta lama yang memperincikan informasi tentang kewujudan kampung-kampung tradisional Melayu di Ipoh seperti Kampung Kuchai dan Kampung Pisang, yang kini telah berubah wajah menjadi kawasan bandar.

“Selama ini ada yang beranggapan bahawa Ipoh hanya dibangunkan oleh komuniti Cina. Sebenarnya, Datuk Panglima Kinta juga mempunyai peranan besar dalam pembangunan awal pekan Ipoh.

“Oleh sebab itu galeri ini penting untuk memberi kesedaran bahawa sejarah bandar ini turut dibentuk oleh tokoh-tokoh Melayu,” ujarnya.

Tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa

Nazrin berkata, Galeri Panglima Kinta boleh dilawati orang ramai bermula dari jam 10 pagi sehingga 5 petang, setiap hati.

Kata beliau, pengunjung juga berpeluang mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang akan memberikan penerangan tentang galeri serta keunikan seni bina dan sejarah Masjid Panglima Kinta secara umum.

Galeri Panglima Kinta Ipoh Masjid Panglima Kinta, sejarah Ipoh, Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof, galeri sejarah Ipoh, pelancongan warisan Perak, tarikan pelancongan Ipoh
Pemandu pelancong, Nazrin Abdullah, 62, memberi penerangan mengenai beduk lama yang pernah digunakan di Masjid Panglima Kinta ketika temubual bersama MG Perak di Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Tambah beliau, sambutan terhadap galeri yang berada di pekarangan masjid itu mendapat sambutan yang menggalakan baik dalam kalangan pelancong tempatan, mahupun pelancong asing.

“Pelawat dari Perancis dan Jerman merupakan kumpulan paling ramai berkunjung, selain pelancong tempatan yang mewakili hampir 60 peratus daripada jumlah pengunjung keseluruhan.

“Bagi mereka yang bukan beragama Islam, peluang melawat masjid dan galeri ini adalah satu pengalaman yang jarang ditemui, lebih-lebih lagi apabila ada peluang masuk ke kawasan masjid,” katanya.

Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.
Antara koleksi yang dipamerkan di Galeri Masjid Panglima Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 JULAI 2025.

Kewujudan Galeri Panglima Kinta bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan untuk masyarakat, khususnya buat generasi muda.

Berkunjung ke galeri itu bukan sekadar dapat mengenali tokoh Melayu yang berjasa, tetapi juga dapat menghayati perjalanan Ipoh daripada sebuah kampung tradisi kepada wajah bandar raya moden yang dikenali masa kini. – MG Perak

 

 

Artikel Berkaitan:

Pameran ‘Ipoh Segalanya Di Sini’ bawa pengunjung lewati sejarah Kinta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI