Jelajah Nyalaan Bara Api Cikgu Saarani bantu calon SPM

SEJAJAR dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, Program Flagship Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dijadikan panduan oleh Yayasan Perak untuk memperkasakan sektor pendidikan rakyat di negeri ini.

Usaha Yayasan Perak dalam membangunkan generasi modal insan melalui ilmu dan akhlak telah bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga mahasiswa di pusat pengajian tinggi.

Pelbagai program pendidikan sama ada peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi telah dilaksanakan oleh Yayasan Perak selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Program Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani antara program yang diperkenalkan Yayasan Perak denga kejasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Program motivasi ini dijalankan dalam kalangan murid-murid dari sekolah-sekolah yang terpilih bagi setiap daerah ke arah persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di samping itu, penganjuran program motivasi tersebut juga bertujuan meningkatkan lagi prestasi pencapaian kecemerlangan akademik murid tingkatan lima lebih bersedia dan mampu merancang strategi dengan lebih berkesan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM.

Melibatkan 12 daerah di seluruh Perak Program Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani dianjurkan sebanyak 24 slot motivasi merangkumi dua sesi setiap daerah bagi menaikkan semangat membara calon-calon SPM.

Slot motivasi tesebut disampaikan oleh pakar motivasi yang bertauliah dan profesional bagi memberi input dan tips yang berguna kepada para pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM.

Nyalaan Bara Api petikan kata Menteri Besar Perak untuk berjaya

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah dalam ucapannya sebelum ini berkata, ‘Nyalaan Bara Api’ yang digunakan sebagai nama program merupakan petikan kata-kata perangsang yang sering diucapkan Saarani.

Katanya, perkataan tersebut digunakan Menteri Besar Perak bagi meniup semangat kepada diri beliau ketika melalui zaman persekolahannya yang sukar dan serba kekurangan.

“Berkat doa, kegigihan, keyakinan diri dan usaha berterusan melalui bara yang sentiasa wujud dalam dirinya, akhirnya beliau telah membuktikan bahawa tiada yang dapat menghalang seseorang itu untuk melakar kejayaan selagi bara api kejayaan itu sentiasa ada dalam diri seseorang.

“Atas kata-kata semangat dan azimat Menteri Besar kita ini, maka program ini dijenamakan sebagai “Program Jelajah Nyalaan Bara Api bersama Cikgu Saarani dengan harapan agar anak-anak turut menyimpan bara keazaman yang sama seperti Cikgu Saarani.

“Ia juga bertujuan membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang kita untuk terus melangkah ke hadapan dan melakar kejayaan untuk diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negeri kita yang tercinta ini,” katanya.

Khairudin berkata, adalah menjadi harapan selepas berakhirnya program motivasi ini, murid-murid sudah bersedia dari segi mental dan fizikal serta bersemangat waja dalam menghadapi cabaran SPM.

Malah beliau turut menzahirkan harapan Kerajaan Negeri Perak untuk meningkatkan lagi pencapaian keputusan SPM dengan sasaran kedudukan lima terbaik di Peringkat Kebangsaan bagi tahun ini.

Khairudin juga memaklumkan bahawa ini adalah program motivasi pertama yang dilaksanakan secara berskala besar ke seluruh negeri yang menyantuni 6000 murid dalam tempoh satu bulan.

Ini menunjukkan kecekapan dan komitmen yang amat tinggi yang ditunjukkan oleh Yayasan Perak dalam berdampingan erat dengan Kerajaan Negeri untuk membangunkan sumber modal insan di negeri ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ziarah Sentuhan Kasih Cikgu Saarani santuni 367 guru besara, sakit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI