KUALA KANGSAR – Khutbah Jumaat antara pendekatan yang akan digunakan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada masyarakat berkaitan prosedur tanah di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aduan berkaitan prosedur tanah antara yang paling banyak diterima setiap kali Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak.
Menurutnya, antara aduan yang diterima termasuklah bicara kuasa, cukai, premium permohonan tanah dan sebagainya.
“Sebagai contoh yang kita terima, ada tanah yang tidak selesai bicara kuasa sehingga tujuh lapis dan yang datang tadi, ada setengah itu peringkat cucu atau cicit. Jadi kes itu hendak diselesaikan tak boleh kerana perlu terlebih dahulu diselesaikan oleh moyang dia.
“Jadi itu saya katakan kena didik masyarakat. Ada cadangan supaya dalam khutbah pun dimasukkan supaya siapa-siapa yang terlibat dengan kematian, dengan segera hendaklah menyelesaikan bicara kuasa,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 6 di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Saarani berkata, bagi mengelakkan tidak berlaku tuntutan oleh waris terhadap tanah yang telah diwakafkan oleh pemilik kepada masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan sekolah agama ia perlu didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Datuk atau moyang dia lafaz, untuk wakafkan tanah ini bagi membina surau, sekolah agama rakyat, masjid dan anak, cucu, cicit dia tak tahu. Jadi apabila sampai kepada cicit dia semula tanah itu sedangkan atas tanah itu ada surau, masjid.
“Sebab itu sekarang kita wajibkan siapa juga yang mewakafkannya hendaklah didaftarkan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah agama rakyat atas nama MAIPk,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi tanah yang bukan di bawah MAIPk, ia akan didaftarkan di bawah Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.
“Kalau sekolah contohnya atau agensi-agensi persekutuan contoh balai polis, sekolah, bomba, tanah itu didaftarkan ke atas Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: