Jemaah haji dinasihat elak terdedah cuaca terik, ikut perintah ‘lockdown’

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan agar jemaah haji Malaysia kekal berada di dalam khemah dan mengelakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari khususnya pada 10 pagi hingga 4 petang berikutan cuaca panas melampau dijangka mencecah 50 darjah Celsius.

Ketua Rombongan Haji (KRH) Malaysia Mohd Hisham Harun berkata langkah itu selaras dengan arahan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan lockdown atau kawalan pergerakan jemaah di Arafah dan Mina pada waktu berkenaan, bagi mencegah risiko serangan strok haba.

“Arahan itu kami terima melalui kumpulan WhatsApp ketua-ketua rombongan haji seluruh negara dan juga ketika pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Hassan Yahya Al-Manakhrah.

“Beliau menekankan agar kerjasama penuh diberikan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan pengendali tempatan, Masyarik bagi memastikan jemaah kekal berada dalam khemah dan tidak keluar ketika cuaca panas terik,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Petugas Haji Bersama KRH di Ibu Pejabat TH di sini semalam.

Beliau berkata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyarankan agar jemaah haji kekal berada di dalam khemah masing-masing semasa hari wukuf dan tidak keluar ke kawasan terbuka termasuk Masjid Namirah bagi mendengar khutbah Arafah secara fizikal.

“Sebagai langkah alternatif, pihak berkuasa Arab Saudi telah meminta agar skrin bersaiz besar disediakan di kawasan khemah jemaah untuk menonton siaran langsung khutbah Arafah,” katanya.

Selain itu, Mohd Hisham turut menyeru semua petugas haji agar siap siaga dari segi fizikal, mental dan emosi dalam menghadapi operasi kemuncak haji, khususnya ketika pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina tidak lama lagi.

“Fokus utama TH adalah untuk memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat menunaikan wukuf di Arafah. Bagi jemaah sedang dirawat, kita akan laksanakan kaedah ‘safari wukuf’, iaitu membawa mereka menaiki bas ke Arafah untuk berhenti sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum kembali ke pusat rawatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua petugas agar menjaga kesihatan dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi memastikan kebajikan serta kelancaran perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia musim ini berada pada tahap terbaik.

“Kami berdoa agar segala perancangan serta pelaksanaan haji berjalan lancar dan petugas memainkan peranan penting dalam memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna, insya-Allah,” katanya. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI