Jenama semula durian bukit untuk tingkat pendapatan Orang Asli

TAPAH – Penduduk Orang Asli sekitar Jalan Pahang dari Batu 3 hingga Batu 25 memohon Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjenamakan durian bukit sebagai usaha menambah pendapatan mereka.

Ia susulan kejatuhan harga buah tempatan berkenaan kepada RM2 hingga RM3 sekilogram bagi gred B, manakala RM1 bagi gred C yang turut menjejaskan pendapatan penduduk yang mengusahakan tanaman durian bukit.

Tok Batin Kampung Batu 6 Jalan Pahang, Fadzil Arom berkata, sekiranya langkah berkenaan dilaksanakan dia melihat kemungkinan untuk harga durian bukit mencecah RM15 sekilogram.

“Saya harap Kementerian Pertanian dapat membuat penjenamaan semula durian bukit bagi menstabilkan harganya. Kalau dapat RM15 sekilogram sudah memadai untuk kami menjual durian.

“Dulu harga durian bukit ini pernah mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding musim ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 6, di sini.

Menurut Fadzil, kejatuhan harga durian bukit sehingga RM2 sekilogram menyebabkan pendapatan penduduk Orang Asli di Jalan Pahang terjejas teruk.

Katanya, ia bukan disebabkan lambakan durian tetapi harga yang semakin menurun sehingga menyebabkan pendapatan pengusaha durian di kampung tersebut susut lebih 60 peratus berbanding kebiasaan.

Tok Batin Kampung Batu 6 Jalan Pahang, Fadzil Arom menunjukkan durian bukit daripada penduduk di sekitar Jalan Pahang dari Batu 3 hingga Batu 25, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF 11 JANUARI 2026.

“Kebiasaannya setiap kali musim pengusaha durian boleh memperoleh pendapatan sehingga RM40,000 tetapi kali ini hendak dapat RM20,000 pun tidak sampai,” katanya.

Ditanya mengenai penyebab harga durian bukit begitu murah, beliau berkata ia bukan disebabkan faktor lambakan tetapi tidak menolak kemungkinan kemasukan durian import dari Thailand.

“Itu (kemasukan durian Thailand) adalah faktor yang tidak dapat kita elaklah. Semua penanam durian di Malaysia tahu benda ini kerana sudah lama terjadi. Kalau boleh saya rasa
kurangkanlah import durian daripada Thailand.

“Kita tahu durian tempatan rasanya lebih enak terutamanya durian bukit yang mempunyai rasa berbeza dengan durian kampung kerana ia ada rasa pahit, manis dan pekat likat,” katanya.

Semalam media melaporkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak memaklumkan pekebun durian di negeri ini tidak menghadapi masalah lambakan durian.

Beliau dilaporkan berkata, pengusaha durian di Perak sentiasa menerima permintaan tinggi daripada pengemar buah berkenaan sama ada untuk pasaran tempatan mahupun eksport. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI