Jenazah Ishsam selamat dikebumikan

IPOH – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di sini, pada jam 11 pagi tadi.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai serta rakan politik dari blok kerajaan dan pembangkang dilihat berada di sekitar tanah perkuburan tersebut.

Antara yang dilihat hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beberapa bekas pemain bola sepak yang pernah bermain untuk Perak turut kelihatan antaranya Azizol Abu Hanifah, Ahmad Shahrul Azhar, dan Syamsol Saad.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid An-Nur, Desa Sri Ampang untuk dimandi dan kemudiannya disolatkan melibatkan sekitar 1,000 jemaah yang diimamkan Ustaz Azmuley Abdul Aziz.

Jenazah Ishsam selamat dikebumikan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama jemaah menunaikan solat jenazah terhadap Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin di Masjid An-Nur Desa Seri Ampang, Ipoh.
Foto : Abdullah Yusof

Antara yang turut bersama-sama menunaikan solat jenazah adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pembangkang Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Selain itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak turut bersama-sama menunaikan solat jenazah di masjid tersebut.

Turut kelihatan di luar masjid adalah, Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan ADUN Chenderiang, Choong Shin Heng.

Semalam, Allahyarham Ishsam dilaporkan meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Georgetown, Pulau Pinang petang semalam

Beliau rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

ADUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin meninggal dunia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI