SUNGAI BULOH – Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, akan dibawa pulang ke kampug halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri Sarawak, bagi proses pengebumian.
Mangsa yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu, Nur Farah Kartini Abdullah, akan dibawa pulang ke kampug halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri Sarawak, bagi proses pengebumian.
Bagaimanapun, keputusan akhir pengurusan jenazah mangsa masih belum diputuskan ahli keluarganya kerana mereka masih menunggu keputusan proses bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh.
Ahli keluarga turut memaklumkan ibu Allahyarham dijangka tiba di Kuala Lumpur dari Miri, malam ini.
Sementara itu, bekas kakak iparnya, Nor Amidah Mohd Ali, 36 dari Aman Puri, Kepong berkata, kali terakhir dia menghubungi Nur Farah Kartini pada 5 Jun lalu.
“Ketika itu dia memaklumkan kepada saya dia tercicir dompetnya, saya tanya hilang kat mana tapi tiada jawapan daripadanya,” katanya yang berada di lobi Hospital Sungai Buloh.
Nor Amidah berkata, walaupun dia telah berpisah dengan suaminya namun hubungannya bersama Nur Farah Kartini sangat baik memandangkan mangsa adalah satu-satunya anak perempuan bongsu daripada tujuh beradik.
“Dia sorang sahaja anak perempuan dalam keluarga dia dan seorang yang sangat bertanggungjawab.
“Selepas tamat pengajian tahun lalu, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung,” katanya.
Nor Amidah berkata, sebagai individu yang rapat dengan Allahyarham, dia sangat terkejut dengan penemuan mayat bekas adik iparnya itu selepas dia dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan. – MalaysiaGazette
Artikel Berkaitan: