IPOH – Seramai 79 warga Bangladesh ditahan menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di dua kilang pembuatan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor di sini pada Rabu.
Operasi itu turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah Imigresen Perak, Datuk James Lee berkata, operasi yang diadakan secara berasingan itu bermula sekitar jam 7 malam.

Menurutnya, seramai 56 warga asing ditahan dalam serbuan pertama manakala 23 lagi ditahan di kilang kedua ketika warga asing terbabit dalam tempoh peralihan syif waktu bekerja.
“Syarikat tersebut pernah diserbu pada tahun lalu dan ini adalah serbuan yang kedua. Ia adalah kesalahan berulang pihak kilang. Jadi sebab itulah kita akan pastikan siasatan dibuat secara mendalam dan kita akan cuba dakwa majikan bersama.
”Antara kesalahan yang dikesan adalah menyalahgunakan pas lawatan ke Malaysia termasuk dengan tinggal lebih masa.
“Selain itu, pihak pengurusan kedua-dua kilang berkenaan yang bernaung di bawah satu syarikat induk dipercayai mengambil pekerja asing yang didaftarkan bekerja di syarikat atau sektor lain,” katanya pada sidang media selepas operasi tersebut di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut bagi menentukan kesalahan yang mereka lakukan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati antara kesalahan yang dilakukan adalah melanggar Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas, permit, atau pas sempadan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis patahkan aktiviti seludup migran, 36 warga asing ditahan


