JKDM Perak tumpaskan lima cubaan seludup masuk komodoti bernilai lebih RM2.4 juta

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menumpaskan lima cubaan menyeludup pelbagai komoditi dianggarkan bernilai RM2.4 juta dengan duti serta cukai sekitar Januari dan Februari lalu.

Kesemua komoditi berkenaan membabitkan beras, jubin porselin, produk sejuk beku dan e-bike dirampas hasil pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Jalan Lenggong-Gerik, dekat sini.

Pengarah Kastam Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, pada 14 Januari lalu kira-kira jam 10.30 pagi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena dan menemukan 14 palet bersamaan dengan 801 karton jubin porselin yang telah diikrarkan tidak benar.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dengan jumlah nilai sitaan termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM964,290.

“Mereka ini didapati membuat pengikraran tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai jubin simen bagi mengelak keperluan permit import daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di sini pada Rabu.

JKDM Perak tumpaskan lima cubaan seludup masuk komodoti bernilai lebih RM2.4 juta
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Mohd Nadzri Ariffin menunjukkan barangan rampasan sejumlah 49,343 kilogram produk sejuk beku iaitu daging babi dan ayam yang diikrarkan sebagai ladu beku (frozen dumpling) dengan nilai daging sejuk beku termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM645,573.87 pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 01 APRIL 2026.

Bagi kes selanjutnya, Mohd Nadzri berkata, JKDM Teluk Intan telan memeriksa sebuah kontena dan menemui 765 guni beras bersamaan 22.9 tan yang tidak diikrarkan dengan nilai sitaan serta duti dan cukai berjumlah RM307,316.40 pada 27 Januari lalu sekitar jam 12 tengah hari.

“Barang dagangan itu diikrarkan sebagai kacang dal bagi mengelak keperluan permit import daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan seorang lelaki berusia 70-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Katanya, bagi kes seterusnya, beliau memaklumkan, pada 12 Februari lalu sekitar jam 12 tengah hari, sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Ipoh telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang disyaki membawa larangan kastam.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemukan sejumlah 49,343 kilogram produk sejuk beku iaitu daging babi dan ayam yang diikrarkan sebagai ladu beku (frozen dumpling) serta seorang lelaki turut ditahan.

“Nilai daging sejuk beku termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM645,573.87,” katanya.

Bagi kes berikutnya, Mohd Nadzri berkata, pada 6 Februari lalu sekitar jam 3 petang, sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan telah menbuat pemeriksaan ke atas dua unit kontena dan menemui 418 e-bike yang diikrar tidak benar.

JKDM Perak tumpaskan lima cubaan seludup masuk komodoti bernilai lebih RM2.4 juta
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Mohd Nadzri Ariffin pada sidang media selepas berjaya menumpaskan lima cubaan menyeludup pelbagai komoditi dianggarkan bernilai RM2.4 juta dengan duti serta cukai sekitar Januari dan Februari lalu di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 01 APRIL 2026.

Tambahnya, barangan tersebut diimport dari China tetapi diikrarkan sebagai produk dari Malaysia.

“Seorang pengurus syarikat pengimport ditahan bersama kontena dan muatan dibawa ke Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu, untuk siasatan lanjut. Nilai e-bike yang dirampas dianggarkan bernilai RM358,244.27.

Beliau berkata, kesemua pemeriksaan itu dijalankan di Pelabuhan Klang, Selangor dan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Mohd Nadzri berkata, pada 21 Januari lalu kira-kira jam 7 pagi, sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang dan menemui beras tidak berkastam dengan jumlah sitaan termasuk duti dan cukai bernilai RM125,126 di Jalan Lenggong-Gerik, dekat sini.

“Pemandu dan kelindan warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 30 tahun bersama barang kes dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kastam rampas 29 tan tongkeng ayam seludup dari China

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI