JKN Perak terima 62 kes keracunan makanan MRSM Taiping

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerima 62 notifikasi kes keracunan makanan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Perkara itu dimaklumkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan..

Beliau berkata, JKN Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) telah menerima sebanyak 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos lalu dari Klinik Kesihatan Taiping melibatkan pelajar yang tinggal di asrama MRSM Taiping.

Menurutnya, sebanyak 32 kes tambahan telah dikesan sehingga 31 Ogos menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 62 kes.

“Hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar berusia antara 16 dan 17 tahun mempunyai sejarah makan di Dewan Makan, MRSM tersebut.

“Gejala awal dikesan adalah pada 28 Ogos jam 4 pagi manakala yang terakhir adalah pada 30 Ogos jam 6 petang. Antara gejala yang dikesan adalah sakit perut, cirit-birit, pening, demam, loya dan muntah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, PKD LMS telah membuat pemeriksaan di dewan makan tersebut pada 30 Ogos lalu, sekitar jam 11.45 pagi dan mendapati bahawa rating pada waktu tersebut adalah 70.11 peratus.

“Berikutan itu, pihak PKD LMS telah mengeluarkan arahan penutupan premis Dewan Makan, MRSM Taiping di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pemeriksaan semula ke atas premis dewan makan itu telah dilakukan 2 September lalu, pada jam 3.15 petang dan mendapati bahawa rating pada waktu tersebut adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, sebanyak empat sampel klinikal telah diambil dari kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga telah diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh untuk tujuan analisis.

“Bagaimanapun, semua kes kini berada dalam keadaan stabil dan tiada yang dimasukkan ke wad.

“Justeru, pihak pejabat kesihatan juga telah merancang untuk melakukan pemeriksaan premis tersebut secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan di premis tersebut sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat,”  ujarnya.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di Facebook susulan lawatan ke MRSM Taiping semalam memaklumkan menerima laporan daripada ibu bapa pelajar di institusi tersebut mengenai kes keracunan makanan yang berlaku.

Pada tahun 2018, seramai 31 pelajar MRSM Taiping menerima rawatan di Hospital Taiping selepas dipercayai mengalami keracunan makanan.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Remaja lelaki, kanak-kanak perempuan maut akibat keracunan makanan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI