KUALA LUMPUR – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) tidak memberi kuasa atau melantik mana-mana individu atau kumpulan untuk bertindak sebagai ejen bagi mencari pembida dalam tender kerajaan bagi pihak agensi itu.
Sebaliknya JLKN menasihatkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan semua maklumat tender atau sebut harga melalui portal ePerolehan menerusi https://www.eperolehan.gov.my/.
“Portal ePerolehan merupakan gerbang utama bagi perolehan Kerajaan Malaysia yang memaparkan iklan dan keputusan tender.
“Syarikat yang berminat dikehendaki mengemukakan tawaran tender mereka secara terus kepada kementerian atau jabatan tanpa penglibatan mana-mana ejen atau pihak ketiga,” kata agensi di bawah Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut JLKN lagi, sekiranya syarikat didatangi atau dihubungi oleh mana-mana individu atau kumpulan mendakwa menjadi ejen perolehan agensi itu, mereka boleh mendapatkan penjelasan terus daripada Unit Perolehan JLKN.
“Syarikat juga boleh membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika terdapat sebarang keraguan.
“Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Unit Perolehan, Bahagian Kewangan JLKN di talian 03-4013 3642 | emel: shafwan@mod.gov.my,” katanya lagi. – MalaysiaGazette