JPJ laksana nombor giliran tanpa had di semua pejabatnya

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memutuskan pemberian nombor giliran di semua pejabatnya di seluruh negara dilaksanakan tanpa had sepanjang waktu operasi berkuat kuasa 13 Januari lalu bagi menangani isu nombor giliran habis walaupun kaunter masih dibuka.

Ketua pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat susulan maklum balas orang ramai yang berdepan kesukaran mendapatkan nombor giliran apabila had kapasiti harian dicapai.

Menurutnya, sebelum ini situasi tersebut bukan berpunca daripada penutupan awal kaunter, sebaliknya disebabkan penetapan had giliran berdasarkan keupayaan sebenar operasi.

“Penetapan had giliran dibuat berdasarkan keupayaan sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan dan jenis urusan yang memerlukan pemeriksaan serta pengesahan fizikal.

“Tujuannya bagi memastikan setiap pelanggan yang menerima nombor dapat dilayan dengan sempurna dalam waktu operasi tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan, sepanjang 2025, sistem JPJeQ telah mengeluarkan sebanyak 9.3 juta nombor giliran dengan purata kira-kira 39,000 nombor sehari di seluruh negara.

Katanya, angka itu mencerminkan jumlah kehadiran pelanggan yang tinggi serta kebergantungan signifikan terhadap perkhidmatan kaunter fizikal.

Bagaimanapun, beliau mengakui persepsi negatif boleh timbul apabila pelanggan yang hadir lewat gagal memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih beroperasi.

“JPJ mengambil maklum keresahan orang ramai dan telah menambah baik pendekatan sedia ada supaya tiada lagi persepsi bahawa pelanggan dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pejabat JPJ akan melaksanakan pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi iaitu Isnin dan Jumaat dari 7.45 pagi hingga 5.30 petang, manakala Selasa hingga Khamis dari 8 pagi hingga 4.30 petang.

Setiap pelanggan yang hadir dalam tempoh tersebut berpeluang mendapatkan nombor giliran dan menerima perkhidmatan, namun masih perlu menggunakan sistem JPJeQ bagi memastikan pengurusan aliran pelanggan lebih teratur.

Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan, JPJ turut memperkukuh pengurusan dalaman termasuk pengagihan petugas mengikut waktu puncak, pengoptimuman aliran kerja kaunter, pemantauan berterusan oleh pengurusan pejabat negeri dan cawangan serta penambahbaikan penyelarasan operasi antara bahagian.

“Pendirian JPJ adalah jelas dan tegas. Semua kaunter hendaklah beroperasi sepenuhnya mengikut waktu yang ditetapkan kecuali melibatkan perkara teknikal atau keselamatan yang tidak dapat dielakkan. Sebarang penutupan kaunter tanpa justifikasi munasabah adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau ketidakpatuhan arahan yang menjejaskan kepentingan pelanggan.

“Tindakan pentadbiran dan disiplin akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud kelemahan atau kecuaian dalam pengurusan kaunter,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai terus digalakkan memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan seperti aplikasi MyJPJ dan portal rasmi MySIKAP bagi urusan yang boleh dilaksanakan secara dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI