IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak telah mengeluarkan sebanyak 5,136 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 13 hingga 22 Februari lalu.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum sepanjang tempoh perayaan.
Menurutnya, sehingga 21 Februari, sebanyak 38,135 kenderaan telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa melibatkan pelbagai kategori kenderaan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,136 Notis P22 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 59 kenderaan telah disita atas kesalahan serius.
“Bagi kesalahan lebih muatan, sebanyak 45 kes telah dikesan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala tiada kes direkodkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengekang kesalahan berisiko tinggi, JPJ Perak turut memberi fokus kepada kesalahan utama atau ‘7 Big Sins’.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memakai tali pinggang keledar 85 kes; tidak mematuhi lampu isyarat merah (49 kes); memotong di garisan berkembar (36 kes); tidak memakai topi keledar (32 kes); memandu di lorong kanan secara berterusan (24 kes); memotong secara bahaya (17 kes); dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (11 kes).
“Selain itu, pemeriksaan turut dilaksanakan ke atas kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres.
“Sebanyak 53 pemeriksaan bas di depo dan 260 pemeriksaan bas di terminal telah dijalankan oleh JPJ Perak serta enam perjalanan penyamaran bas turut dilaksanakan bagi memantau tahap pematuhan pemandu.
“Menerusi, kerjasama oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak selaku rakan strategik JPJ Perak, seramai 158 pemandu telah disaring melalui ujian air kencing dan seorang pemandu didapati gagal ujian saringan tersebut,” ujarnya.
Katanya, JPJ Perak akan terus mempergiat penguatkuasaan secara berterusan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya khususnya dalam tempoh perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah trafik yang tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


