JPN serah sepenuhnya pada polis kes lima senior pukul junior

IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan kes lima pelajar senior memukul pelajar junior sehingga menyebabkan kecederaan yang berlaku pada 24 Julai lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, setakat ini JPN tidak akan mengambil sebarang tindakan sehingga siasatan berhubung kes tersebut selesai sepenuhnya.

Menurutnya, pihak jabatan hanya akan memantau sama ada perlu ada permuafakatan antara mangsa dan suspek namun itu bergantung kepada hasil siasatan daripada pihak polis.

“Kita ada sistem dalam jabatan yang dipanggil 137 (SOP 1-3-7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid), maksudnya laporan-laporan daripada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu dihantar ke jabatan sebelum sebarang rumusan berhubung kaedah yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan kes ini.

“Tapi buat masa sekarang, kes ini sudah jadi kes polis, jadi kita biarkan dulu polis menjalankan siasatan.

“Sehubungan itu, kita mengharapkan jangan ada pihak-pihak tertentu mensensasikan atau menyebarkan berita-berita yang tidak benar dan biarlah pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan bukti dan laporan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lima pelajar lelaki susulan kes seorang pelajar Tingkatan Satu dipukul di sebuah sekolah menengah di sini, pada bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua remaja lelaki yang berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan pada 29 Julai lalu bagi membantu siasatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pukul pelajar Tingkatan Satu, lima ‘senior’ ditahan polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI