IPOH – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak merampas 404.7 kilogram (kg) karkas lembu dan babi, haiwan ternakan serta lima kenderaan bernilai RM420,392.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Ternakan JPV Negeri, Dr Zulkifli Ahmad berkata, rampasan itu dilakukan sepanjang lima hari JPV Perak melaksanakan pemeriksaan dan serbuan sekitar negeri ini bermula 18 Januari hingga semalam.
Menurutnya, rampasan itu melibatkan empat kes kesalahan pemindahan ternakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri atau Pihak Berkuasa Veterinar.
Selain itu, beliau berkata, lima kes kawalan penyembelihan iaitu disyaki memiliki karkas yang disembelih di luar rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan turut dikesan pada pemeriksaan tersebut.
“Sebanyak 81 ekor kambing bernilai RM34,200 dan 42 ekor babi bernilai RM12,600 dirampas dalam serbuan berkenaan.
“Kita turut menyita karkas lembu seberat 163kg bernilai RM6,175 dan karkas babi seberat 241.7kg bernilai RM 2,417.
“Di samping itu, lima kenderaan turut disita melibatkan sebuah kereta dan empat buah lori bernilai RM365,000.
“Nilai keseluruhan barang kes yang dirampas adalah RM420,392,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kesalahan melibatkan pemindahan ternakan tanpa kebenaran disiasat di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953(Akta 647) manakala kesalahan kawalan penyembelihan disiasat di bawah Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
Sehubungan itu, Zulkifli menasihatkan supaya semua penternak mematuhi Perundangan Veterinar yang sedang berkuat kuasa selain memaklumkan operasi itu akan diteruskan memandangkan musim perayaan akan tiba. – MG Perak
Artikel Berkaitan: