JSJ lakar tiga kejayaan besar tangani jenayah rentas sempadan, siber – KPN

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terus memperkukuh peranannya dalam menangani pelbagai bentuk jenayah melalui beberapa operasi berskala besar yang dilaksanakan awal tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata antara kejayaan utama dilaporkan termasuk pelaksanaan Operasi Pintas Mega dikendalikan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman secara bersepadu bersama kontinjen polis seluruh negara pada Februari lepas.

Beliau berkata operasi itu turut membabitkan kerjasama strategik daripada agensi lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sepanjang operasi, sebanyak 45 serbuan dijalankan, menyaksikan 249 individu ditahan dan 144 mangsa berjaya diselamatkan daripada jaringan eksploitasi manusia di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Kejayaan ini membuktikan kesungguhan dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang serta penyeludupan migran secara profesional dan menyeluruh,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan KPN di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata JSJ turut mencatat kejayaan antarabangsa menerusi penyertaan dalam Operasi Cyber Guardian dianjurkan oleh Singapore Police Force, melibatkan lima negara iaitu Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Thailand dan Malaysia.

“Operasi yang berlangsung dari 28 Feb hingga 28 Mac 2025 itu memberi fokus kepada pembanterasan jenayah penganiayaan seksual kanak-kanak secara dalam talian.

“Sebanyak 46 pegawai kanan dan rendah polis digerakkan dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Unit Anjing Pengesan K9 bagi mengesan peranti elektronik yang digunakan untuk menyimpan dan menyebarkan bahan terlarang melalui platform perkongsian rakan ke rakan (P2P) dan aplikasi Telegram,” katanya.

Beliau berkata empat individu iaitu akauntan, pereka web, pekerja industri telekomunikasi dan penjawat awam ditahan dengan rampasan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM).

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan.

“Kejayaan ini menyerlahkan ancaman serius jenayah seksual siber terhadap golongan rentan serta komitmen tidak berbelah bahagi JSJ dalam membanteras jenayah keji tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata JSJ turut memperhebatkan tindakan terhadap perjudian haram menerusi pelaksanaan Operasi Dadu Khas yang menyaksikan 6,719 serbuan dilakukan sepanjang tempoh operasi.

“Sebanyak 8,603 individu diberkas, manakala 3,464 peranti elektronik seperti komputer, tablet dan telefon bimbit dirampas bersama wang tunai melebihi RM1.6 juta.

“Tindakan bersepadu ini membuktikan ketegasan PDRM yang tidak berkompromi dalam membanteras aktiviti perjudian haram yang boleh mengancam ketenteraman awam,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI