TAPAH – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini menyifatkan program Jualan Sejahtera Rakyat merupakan satu inisiatif membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
Menerusi program tersebut rakyat berpeluang untuk membeli barangan keperluan asas antaranya beras, minyak masak, gula, sayur-sayuran dan barangan basah yang dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan asas dapur dengan harga mampu milik.
Ahmad Mad Shuhud, 63, dari Kampung Jawa Air Kuning di sini berkata, dia bersama anak-anaknya tiba seawal jam 8.30 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli keperluan dapur.
“Hari ini saya membeli barang dapur bernilai RM15 iaitu ayam, ikan dan bawang.
“Alhamdulillah, jualan murah pada hari ini berjalan lancar dan saya berharap ia seperti harus diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Jualan Sejahtera Rakyat DUN Ayer Kuning di Dewan Serbaguna Perumahan Awam 2 Air Kuning, di sini.
Penduduk dari Kampung Haji Dahalan, Ramlah Mohd Zaki, 63, pula mengambil kesempatan untuk singgah di program tersebut kerana harga jualan yang ditawarkan murah.
“Harap ada lagi jualan macam ini supaya kami yang kurang berkemampuan dapat membeli barangan keperluan dapur dengan harga murah berbanding di pasaran sedia ada.
“Makcik beli ikan, sotong, sayur lebih kurang RM40. Selalu ikan cencaru berharga belasan ringgit, di sini makcik sini dapat dengan harga RM5 sahaja. Sotong cuma RM25 sekilogram dapatlah murah sikit berbanding di pasar sekitar RM30,” ujarnya.
Sementara itu, jurujual, V Partiban dari Perumahan Awam 2 Air Kuning berkata, program ini juga mengumpulkan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menikmati harga barang dapur lebih murah.
“Ini kali ketiga, (ke Jualan Sejahtera Rakyat), kalau ada info memang saya akan pergi.
“Kalau buat macam ini selalu memang orang boleh beli banyak barang sekali gus membeli peluang kaum India, Cina dan Melayu menikmati harga lebih berbaloi dari tempat lain,” ujarnya yang membelanjakan RM60 untuk membeli ikan, sayur-sayuran, telur dan minyak.
Jualan Sejahtera Rakyat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan ayam segar pada harga diskaun sehingga 20 peratus daripada harga pasaran. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
22,000 penduduk Perak terima manfaat Jualan Sejahtera Rakyat