KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion manakala pembiayaan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah RM120 bilion.
Menurut beliau, sokongan pihak swasta pula melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion.
“Daripada peruntukan RM430 bilion tersebut, lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
“Sektor sosial turut diberi keutamaan apabila RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion.
“Sektor keselamatan pula akan diperuntukkan RM51 bilion, manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion dan agihan strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tema RMK13 adalah Melakar Semula Pembangunan demi mengangkat martabat rakyat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh RMK13 disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun.
Perdana Menteri berkata, sasaran tersebut diterajui oleh permintaan domestik terutama penggunaan dan pelaburan swasta.
Beliau berkata, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.
“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
“Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurang secara berperingkat di bawah 3 peratus kepada KDNK dan paras hutang Kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.
“Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030.
“Kadar inflasi juga dijangka kekal stabil dalam lingkungan 2 peratus hingga 3 peratus setahun,” katanya. – MalaysiaGazette