Jumlah rumah tidak terjual di Perak menurun -Exco

IPOH – Jumlah unit rumah tidak terjual di Negeri Perak merekodkan penurunan 4,161 unit kepada 3,039 unit bagi suku ketiga tahun ini, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching

Menurut beliau, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) itu menunjukkan impak positif kepada prestasi hartanah di negeri ini.

Katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP) telah mengambil tindakan dalam usaha mengatasi isu lambakan rumah tidak terjual.

Jelas beliau, ia termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bersama NAPIC, bagi mengenal pasti lokasi serta faktor yang menyumbang kepada masalah berkenaan.

“Antara faktornya adalah lokasi pembinaan, strategi pemasaran, jumlah unit yang dilancarkan secara besar-besaran, konsep pembangunan, dan harga jualan.

“Selain itu, penting untuk menekankan bahawa pemaju mempunyai tanggungjawab dalam memastikan setiap projek pembangunan sesuai dengan keperluan dan kemampuan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (PAS-Selinsing) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Sandrea (PH-Teja) menambah, melalui kajian pasaran yang lebih mendalam, pemaju dapat mengenal pasti jenis rumah yang diperlukan dan memastikan harga yang ditawarkan berpatutan.

Kata beliau, kepekaan terhadap faktor-faktor ini penting dalam memastikan keseimbangan antara permintaan dan penawaran rumah serta mengurangkan isu lambakan rumah tidak terjual pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, Sandrea memberitahu kerajaan negeri menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan memperkenalkan syarat ketat kepada pemaju perumahan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti pemaju dan memperkukuhkan profesionalisme dalam industri perumahan.

“Melalui langkah-langkah ini, kerajaan negeri bertekad untuk mencegah masalah projek terbengkalai daripada berulang dan memberi manfaat kepada pembeli rumah serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Program Bandar Pintar antara fokus baharu PBT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI