TAIPING – Seorang jurubahasa persendirian kerugian lebih RM572,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud melalui laman sosial Instagram.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 37 tahun itu sekitar jam 4.19 petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati pada 10 Ogos lalu kira-kira jam 7.17 malam, ketika mangsa berada di rumah, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki warga China melalui Instagram yang memperkenalkan diri sebagai Yang Yuting (suspek).
“Pada masa yang sama, suspek telah memberikan nombor telefon dan mereka berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia ada melabur dalam satu pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan banyak 20 peratus.
“Setelah mendengar penjelasan lanjut daripada suspek, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Nasir berkata, suspek kemudiannya menghantar satu pautan dan mengajar mangsa cara membuat pelaburan.
“Mangsa diminta untuk melabur sebanyak USD2,000 bersamaan RM8,740 sebagai pelaburan pertama dan pada 22 Ogos lalu lebih kurang jam 10.09 malam, mangsa telah melakukan transaksi pindahan wang secara dalam talian ke akaun sebuah syarikat berjumlah RM8,740.
“Untuk pelaburan pertama, mangsa telah mendapat pulangan keuntungan sebanyak USD2,280.47 bersamaan RM9,595.
“Oleh kerana mangsa percaya pelaburan ini bakal menerima pulangan lumayan sepertimana yang dijanjikan, mangsa telah menggandakan nilai pelaburannya.
“Antara 26 Ogos sehingga 5 September lalu, mangsa telah melakukan 12 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam sembilan akaun berbeza melibatkan jumlah sebanyak RM572,130,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek sekali lagi meminta mangsa memasukkan wang untuk menambah nilai pelaburan namun mangsa tidak mempunyai wang mencukupi.
“Suspek telah mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank tetapi mangsa enggan kerana sedar dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan masih dijalankan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita warga emas rugi lebih RM5 juta akibat pelaburan kripto palsu