KLANG – Seorang juruteknik yang memandu kereta melanggar penghantar makanan pada Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membunuh selepas melanggar mangsa dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Saktygaanapathy Ravichandran, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan.
Ini kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi, pada 29 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, lelaki itu turut didakwa kerana memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, kira-kira jam 3.30 petang.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagi pertuduhan pengambilan dadah, suspek mengaku bersalah bagaimanapun tidak ditawarkan ikat jamin kerana dia turut berdepan kes bunuh.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.
Isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, turut hadir ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan.
Sebelum ini, suspek yang positif alkohol dan dadah, ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, Amirul Hafiz maut serta-merta selepas dirempuh kereta Honda City dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju ke arah bandar Klang.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Larut, Perak, dan meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.
Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai, dengan Kementerian Pengangkutan mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah yang memandu mabuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa. – MalaysiaGazette


