KUALA LUMPUR – Kos haji dan kos bayaran haji jemaah Muassasah bagi musim haji 1447H/2026M kekal seperti tahun yang sebelumnya.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), kos untuk menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassaah tidak naik tiga tahun berturut-turut dan ini dapat dicapai walaupun berdepan dengan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat.
Katanya, kos keseluruhan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun depan kekal pada kadar RM33,300 untuk seorang jemaah Muassasah.
Tambahnya, bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40, kadar bayaran ialah RM15,000 dengan bantuan sebanyak RM18,300 dan golongan M40 pula dengan bayaran RM23,500 dan bantuan sebanyak RM9,800.
Manakala bagi golongan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu membayar sebanyak RM33,300 iaitu seratus peratus jumlah tanpa bantuan, ujarnya.
TH menganggarkan ia bakal menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM210 juta bagi musim haji 1447H/2026M dalam usaha meringankan beban kewangan bakal jemaah.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia turut mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah daripada golongan berpendapatan rendah B40.
TH berkata, bantuan kewangan secara bersasar sejak 2022 selari dengan konsep Istito’ah dan pendekatan kerajaan dalam membantu golongan memerlukan.
“Kadar Bantuan Kewangan Haji secara bersasar ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, kos haji dikekalkan melalui langkah strategik yang melibatkan tempahan awal dan kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan dan kontrak penerbangan selama lima tahun.
Ujarnya, beberapa bangunan penginapan yang baharu dengan kemudahan moden telah dikenalpasti untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji.
“TH juga telah memeterai kontrak penerbangan selama lima tahun bagi mengawal daripada ketidaktentuan harga,” katanya.
Tambahnya, seramai 31,600 bakal jemaah musim haji 1447H/2026M akan menerima surat tawaran secara berperingkat bermula 24 Oktober 2025
Bagi jemaah yang tidak menerima surat tawaran kerana belum tiba giliran, TH akan membuka peluang merayu bermula 3 November 2025 melalui platform THiJARI, ujarnya.
“TH mengambil kira beberapa kriteria dalam memproses rayuan yang diterima, antaranya ialah tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di TH dan kekerapan permohonan rayuan,” katanya.
TH menggesa bakal jemaah haji untuk mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000 yang betujuan untuk melayakkan mereka menerima tawaran, membuat permohonan rayuan haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan. – MalaysiaGazette