IPOH – Prestasi Mahkamah Syariah di Perak dalam menangani kes penceraian yang tertunggak berada pada tahap baik apabila ia kadar penyelesaian mencapai 85 peratus bagi tahun 2024 berbanding 81 peratus pada tahun sebelumnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun jumlah pendaftaran kes sentiasa meningkat saban tahun, namun pihak jabatan sentiasa memastikan kesemua kes diselesaikan mengikut ketetapan undang-undang.
“Pada tahun 2024 berbekalkan baki sebanyak 2,366 kes, dan jumlah pendaftaran kes semasa sebanyak 11,013 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam prosiding sebanyak 13,373 kes.
“Daripada jumlah tersebut prestasi penyelesaian kes meningkat kepada 85 peratus dengan jumlah penyelesaian keseluruhan kes meningkat kepada 11,361 kes. Oleh itu, baki kes yang dibawa pada tahun 2025 menurun kepada 2,012 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rahim Ismail (PN- Changkat Jering) ketika Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Saarani berkata, bagi tahun 2023 , jumlah prosiding kes dalam prosiding adalah sebanyak 12,501 kes, namun 10,135 kes berjaya diselesaikan dengan peratus prestasi penyelesaian keseluruhan 81 peratus.
Pada masa sama beliau memberitahu, peratusan bagi kes-kes penceraian yang tidak selesai juga sentiasa terkawal.
“Pada tahun 2023 hanya 0.2 peratus sahaja kes-kes berkaitan yang tidak selesai dan dipantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penyelesaian dengan jumlah 23 kes daripada keseluruhan 12,501 kes dalam prosiding.
“Manakala pada tahun 2024, jumlah baki kes berkaitan perceraian yang dipantau penyelesaiannya menurun kepada hanya 0.01 peratus, dengan jumlah hanya 10 kes daripada keseluruhan 13,373 kes dalam prosiding,” katanya lagi.
Tambah Saarani, sebanyak 36 kes telah disenaraikan dalam KPI pemantauan penyelesaian kes berkaitan perceraian, dan sehingga Jun tahun ini, 50 peratus daripada jumlah kes berjaya diselesaikan dengan baki 18 kes.
Ketika menjawab soalan tambahan Salina Samsudin (BN-Behrang), Saarani menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan institusi Mahkamah Syariah terus mesra orang ramai.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kehakiman Syariah sentiasa berusaha untuk menyantuni rakyat yang memerlukan perkhidmatan perundangan syariah yang lebih cekap dan rantas.
“Setiap bangunan mahkamah syariah di Perak direka dengan reka bentuk dengan teliti, termasuklah menempatkan kedua-dua bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung.
“Pendekatan inovatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kehakiman syariah,” jelas beliau. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘eKSPerk’ pemudah cara daftar kes mahkamah syariah terpilih di Perak