KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya pada tahun 2026 selaras dengan komitmen Madani dalam melindungi kebajikan rakyat.
Menurut LLM, keputusan itu adalah selari dengan pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai lepas menerusi ‘Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia’ yang menetapkan tiada kenaikan kadar tol, walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM591.56 juta.
“Keputusan ini membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir satu juta pengguna harian lebuh raya,” kata LLM dalam kenyataan media hari ini.
LLM berkata, seiring dengan pengekalan kadar tol, pihaknya kekal komited memastikan kepentingan pengguna terpelihara menerusi penyediaan perkhidmatan lebuh raya yang selamat, lancar dan berkualiti.
Ini termasuklah dalam memastikan syarikat konsesi mematuhi standard operasi dan penyenggaraan yang ditetapkan.
“LLM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap pematuhan obligasi syarikat konsesi, khususnya dalam aspek operasi dan penyenggaraan lebuh raya, bagi memastikan kebajikan pengguna berada pada tahap optimum,” katanya.
Dalam masa sama, LLM memaklumkan usaha menaik taraf kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah (lay-by) akan diteruskan bagi menjadikannya lebih kondusif dan lengkap dengan kemudahan terkini, termasuk penyediaan pengecas kenderaan elektrik (EV) serta akses internet tanpa wayar (WiFi) percuma di beberapa lokasi terpilih.
LLM turut menegaskan penekanan terhadap pengurusan aliran trafik akan terus diperkasakan bagi mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan, sekali gus memastikan lebuh raya kekal relevan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Selain itu, LLM menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi digital rasmi seperti TuJu Highway Navigation App LLM dan MyJalan bagi mendapatkan maklumat trafik terkini, merancang perjalanan dengan lebih efisien serta menyalurkan aduan dan maklum balas secara terus. -MalaysiaGazette


