Kaji semula PT3, UPSR tanda kerajaan dengar suara rakyat – Fadhlina

PUTRAJAYA – Kajian semula pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mencerminkan sikap terbuka serta kesediaan kerajaan untuk mendengar pandangan rakyat sebelum membuat sebarang dasar penting pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan mengkaji semula dasar berkenaan membuktikan komitmen kerajaan untuk meneliti setiap maklum balas yang diterima demi kelestarian dan masa depan pendidikan negara.

“Bila ada permintaan untuk dilihat, kita ambil pendekatan itu untuk melihat dan kaji bersama sebelum kita buat keputusan-keputusan penting dalam negara. Jadi kita pun tidak mahu buat keputusan-keputusan tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program PAKAT Prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), di sini, pagi ini.

Isnin lalu, Fadhlina memaklumkan bahawa kajian keperluan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 akan dilaksanakan tahun ini dan hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

Menurut beliau, semua pihak perlu memberi sedikit masa kepada kementerian untuk melaksanakan kajian smenyeluruh, termasuk mengambil kira pandangan pemegang taruh utama seperti ibu bapa, guru serta komuniti pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang dipertanggungjawabkan menjalankan kajian berhubung dua peperiksaan berkenaan kini dalam proses lantikan baharu.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan keperluan mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan negara sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Katanya, dari segi persiapan dasar dan hala tuju, kementerian telah bersedia dan kini hanya menunggu proses pelantikan rasmi supaya majlis berkenaan dapat berfungsi sepenuhnya.

“Kita sebenarnya, MPPK ini dalam proses untuk pelantikan. Dari segi persiapan kita untuk sebagaimana arahan saya untuk mereka itu, kita sudah bersedia.

“Cuma menunggu mereka masuk, dilantik dan kemudian kita akan selesaikan dalam tahun ini juga, sesegera mungkin kerana kita nampak ada maklum balas yang berbagai berkaitan pandangan-pandangan itu.

“Kita akan kumpulkan dan kajian-kajian yang telahpun ada di Peringkat Penyelidikan Malaysia untuk kita kaji bersama dan lihat bersama dengan Majlis Penasihat, insyaAllah sesegera mungkin,” katanya.

MPPK akan dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang termasuk pakar dasar, pendidik berpengalaman, pengamal di peringkat akar umbi serta tokoh yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI