SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan kajian pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kajian tersebut dalam masa yang sama akan mengambil kira pandangan ibu bapa.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberi KPM sedikit masa untuk menyelesaikan kajian berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Sebab tu saya sebut tadi, beri kita masa sedikit dan kita akan bagi penjelasan kepada masyarakat selepas kajian yang telah kita laksanakan dan kita bentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui di Majlis Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Regent, Elmina hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Fadhlina baru-baru ini berkata, kajian itu akan dilaksanakan susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa.
Ia berikutan isu peperiksaan masih menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan masyarakat dan kerajaan mengambil maklum kebimbangan serta pandangan tersebut.
Menurutnya, kajian berkenaan akan dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
Sebagai rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021 ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
Manakala PT3 yang dibatalkan pada tahun sama, sebelum dimansuh sepenuhnya pada 2022 yang kemudian digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). – MalaysiaGazette


