KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas utama pembinaan bangsa, jati diri serta masa hadapan negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan sistem pendidikan baharu, pelaksanaannya mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama kerana kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut Sultan Ibrahim, sebarang cadangan untuk mengiktiraf atau melaksanakan sistem pendidikan lain juga perlu menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai komponen teras dalam pembelajaran.
“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan sejarah negara adalah asas kepada pembentukan identiti serta perpaduan rakyat,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menegaskan, pihak yang tidak menerima kedudukan bahasa Melayu seharusnya menghormati realiti dan perlembagaan negara.
“Kalau ada yang tidak menerima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette


