IPOH – Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak menerima sumbangan mesin perubatan dikenali sebagai kamera fundus daripada Yayasan Datuk Chevy Beh bertujuan untuk menjalani pemeriksaan mata bagi golongan kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan pedalaman sekitar negeri ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, mesin tersebut akan ditempatkan di dalam sebuah trak yang akan bergerak ke sekitar Perak untuk menjalankan pemeriksaan mata.
Menurutnya, kos untuk menjalani pemeriksaan mata adalah tinggi dan mesin itu membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum, pemeriksaan mata ini bukanlah murah. Tambahan lagi baru-baru ini Menteri Kesihatan telah pun mengumumkan sebanyak 15 peratus rakyat di negara ini menghadapi penyakit kencing manis.
“Apabila seseorang itu menghidap penyakit kencing manis, mereka bukan sahaja perlu mengawal paras gula dalam darah, tetapi juga menjaga kesihatan mata. Pemeriksaan mata secara berkala amat diperlukan.
“Namun, mereka seringkali terlepas pandang perkara ini dan tidak pergi ke klinik swasta serta jarang ke hospital. Hospital pula terlalu sesak dengan pesakit. Oleh itu, kewujudan perkhidmatan ini di Perak dilihat sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kamera Fundus untuk Saringan Mata Komuniti di Kelab Ipoh Diraja di sini, pada Ahad.
Hadir sama, wakil Yayasan Datuk Chevy Beh, Datuk Joevy Beh dan Pengerusi Persatuan Insan Sikh Perak, Datuk Dr Jasvinder Singh.
Dalam masa sama, Sivanesan turut memaklumkan, kerajaan negeri turut memberi sedikit sumbangan bagi membantu persatuan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak galak hospital swasta anjur simposium kesihatan – Exco