POH – Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di bawah kelolaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diterjemahkan menerusi penaiktarafan serta pembangunan infrastruktur tapak Pasar Baharu Manjoi kepada Dataran Niaga Kampung Manjoi yang lebih tersusun, kondusif dan berdaya saing.
Projek bernilai RM500,000 yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) itu menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa dan selamat kepada peniaga serta pengunjung khususnya di Gugusan Manjoi.
Dataran niaga dibangunkan LHDN yang turut dijenamakan sebagai HASiL ini mampu memuatkan 28 ruang niaga dalam satu-satu masa dan secara tidak langsung dapat merancakkan aktiviti ekonomi di kampung tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, kerja naik taraf dataran niaga itu bermula pada 25 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari lalu.
“Saya yakin dan percaya bahawa pembangunan dataran ini bukan sahaja telah memberi nafas baharu kepada kawasan ini malah turut membuka ruang dan peluang ekonomi kepada penduduk setempat dengan suasana yang lebih kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KAM di Dataran Niaga Kampung Manjoi, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Mohd Zakuan Zakaria dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Dalam pada itu, Abu Tariq menjelaskan bahawa dataran niaga tersebut bukan sesuatu yang baharu bagi komuniti di sini sebaliknya telah lama menjadi tempat mencari rezeki, tempat interaksi sosial dan tempat berkumpul masyarakat setempat.
“Bagaimanapun, seiring dengan perubahan masa dan keperluan semasa, kemudahan sedia ada perlu ditambah baik supaya lebih selesa, teratur dan selamat.
“Penaiktarafan yang dilaksanakan ini membawa mesej yang sangat jelas bahawa kita serius dalam memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan.

“Kemudahan yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan peniaga dan pelanggan, malah memberi imej yang lebih positif dan profesional kepada dataran niaga ini.
“Kita mahu melihat Dataran Niaga Kampung Manjoi menjadi pusat perniagaan komuniti yang tersusun dan kondusif, ruang yang bersih dan selamat untuk keluarga berkunjung, serta menjadi platform untuk usahawan kecil berkembang dan meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Katanya, pembangunan ekonomi komuniti tidak semestinya bermula dengan projek berskala besar, kadang kala menaik taraf kemudahan sedia ada juga mampu memberi impak yang sangat besar.
“Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinan peniaga, menarik lebih ramai pelanggan dan seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Saya berharap peniaga di dataran niaga ini akan memanfaatkan kemudahan yang telah dinaik taraf dengan sebaiknya,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


