TAIPING – Sebanyak empat projek pembangunan bernilai RM1.2 juta telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering, dekat sini.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata, pelaksanaan projek sejak tahun lalu itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 600 penduduk.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf Surau Ulu Batas, pembinaan dewan terbuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Siam, dewan orang ramai, serta bilik pengurusan jenazah di Majlis Al-Wusta.
Kata beliau susulan daripada itu, JPPKK melaksanakan ‘Projek Kampung Angkat MADANI TVET’ selama 17 hari bermula Selasa, di lokasi sama melibatkan peruntukan lebih daripada RM200,000.
“Antara tumpuan projek melibatkan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur di Kampung Batu 8, Bendang Siam seperti membina dua gazebo untuk tujuan rekreasi dan ruang santai komuniti.
“Pada masa sama, sebuah kolam ikan berhampiran juga akan diperindah termasuk merawat air agar ia dapat dijadikan lokasi ternakan ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Lawatan Pemantauan Pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI TVET Bendang Siam Taiping (KAMBEST TVET) di sini, pada Selasa.
Di samping itu Mohd Zahari memberitahu, di bawah inisiatif sama, turut dilaksanakan pendawaian elektrik fasa tunggal untuk rumah kediaman dan menjalankan kerja asas pembaikan rumah penduduk kampung tersebut.
“Sebanyak 21 rumah di kampung ini akan dibaiki yang mana ia melibatkan kerja-kerja seperti penggantian kotak agihan elektrik, pendawaian semula wayar elektrik usang, mengecat semula dinding, penggantian lantai, tiang dan sebagainya.
“Tujuan utama kita mahu memastikan penghuni rumah yang dalam kategori B40, warga emas, dan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat menikmati kediaman yang selesa dan selamat,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kesemua projek berkenaan dilaksanakan dengan melibatkan 162 orang pensyarah dan pelajar daripada 10 institusi di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara.
Ujar beliau, antara yang terlibat adalah dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Jeli (PJK), Politeknik Bagan Datuk (PBD), Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ), dan sebagainya.
Mohd Zahari berkata, usaha menaik taraf infrastruktur di Kampung Batu 8, Bendang Siam adalah usaha serampang dua mata dalam memperkasakan proses pembelajaran pelajar serta sektor pelancongan desa yang akan memberi pendapatan tambahan kepada penduduk.
“Kesemua kerja dilaksanakan secara ‘on-the-job training’, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tetapi turut menjadi platform latihan sebenar kepada pelajar dalam bidang masing-masing.
“Pendekatan ini memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran dan penglibatan aktif institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama masyarakat,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara beri impak positif – Exco