BANDAR Raya Ipoh merupakan bandar yang cukup terkenal dari dalam dan luar negara sama ada daripada aspek pelancongan, kesenian, mahupun pembangunan ekonomi.
Namun disebalik itu, masih wujud kekeliruan daripada sudut sejarah tentang perkembangan awal bandar yang terletak di daerah Kinta itu dalam kalangan masyarakat hari ini.
Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP), Ibrahim Ahmad berkata, umum berpandangan Ipoh wujud pada tahun 1880an, sedangkan ia telah dibuka jauh lebih awal iaitu sekitar abad ke-16.
Katanya, pandangan itu bersandarkan kepada tahun kewujudan awal tiga perkampungan Melayu utama iaitu Kampung Kepayang yang wujud sekitar tahun 1520an, Kampung Paloh (1700an) serta Kampung Kuchai (1880an).
Jelas Ibrahim, Kampung Kepayang yang berada di tebing Sungai Kinta, bersama-sama dua perkampungan itu kemudian menjadi pencetus kepada pembangunan Ipoh.
Malah kata beliau, dianggarkan terdapat 40 kampung tradisi Melayu lain yang wujud di sekitar Ipoh iaitu Kampung Pisang, Kampung Temiang, Kampung Jawa, Kampung Pari, Kampung Lalang, Pengkalan Pegoh dan sebagainya, juga berperanan sama.
“Kekeliruan ini timbul apabila kita selalu merujuk kepada satu sumber sejarah sahaja, iaitu sumber Barat. Sedangkan untuk mengetahui tentang sejarah, kita perlu mempelbagaikan sumber rujukan.
“Selain itu hal ini juga wujud apabila ada penyelidik yang hanya mengkaji secara dasar tanpa melihat sesuatu fakta daripada pelbagai sudut yang lebih dalam.
“Misalnya dalam isu ini, mereka hanya mengkaji Ipoh secara dasar tanpa melihat kepada perkampungan tradisi Melayu yang lama-kelamaan membentuk Ipoh yang kita lihat sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MG Perak pada Program Ceramah Sejarah ‘Ipoh: Dari Kampung kepada Bandaraya’ di Zamani Learning Hub UniKL RCMP, Ipoh, baru-baru ini.
Program itu merupakan sebahagian daripada pengisian program Seminggu Bersama Zamani Learning Hub yang bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu serta memperkukuhkan pemahaman tentang sejarah dan budaya tanah air.
Mengulas lanjut Ibrahim berkata, Tun Kelalang anak kepada Pemerintah Hulu Perak, Tun Saban merupakan individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Kepayang yang kini berada dalam kawasan Fair Park.
Pun begitu beliau berkata, fakta juga menyebut bahawa terdapat penempatan awal masyarakat Orang Asli di sekitar Ipoh, sebelum mereka juga turut berasimilasi dengan Masyarakat Melayu.
Perkembangan sebagai bandar transit
Perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah yang bermula pada akhir abad ke-18 telah memaksa pihak British untuk mencari sumber-sumber bijih timah, terutama di wilayah yang dijajah termasuk di Perak.
Menurut Ibrahim, dalam perkara ini juga, wujud salah faham masyarakat tentang kaitan aktiviti perlombongan bijih timah dengan Bandar Raya Ipoh itu sendiri.
Jelas beliau, menurut kajian, Ipoh bukan sebuah pusat perlombongan bijih timah seperti yang difahami umum, kerana tiada sebarang peninggalan lombong ditemui di sekitar bandar itu.
Kata beliau, sebaliknya Ipoh berfungsi sebagai bandar transit bijih timah dengan industri perlombongan bergiat aktif di kawasan pinggir bandar itu seperti di Gopeng, Kampar, Papan, Tambun, Lahat dan Tanjung Tualang.
“Ipoh pada asalnya dibangunkan sebagai bandar entrepot atau sebagai tempat pengumpulan hasil bijih timah sebelum ia dieksport ke luar.
“Trend pembangunan ini juga dapat dilihat sama seperti bandar utama di Pulau Pinang dan Melaka. Ia bermula dengan pusat pengumpulan, kemudian berkembang kepada pusat perniagaan,” ujarnya lagi.
Ibrahim berkata, selain itu keberadaan imigran daripada China serta India yang dibawa masuk oleh British untuk sektor perlombongan dan perladangan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan di Ipoh.
Justeru kata beliau, situasi itu akhirnya membawa kepada kemajmukan masyarakat yang kini menjadi salah satu keunikan buat bandar raya ini sejak pasca merdeka hingga saat ini.
Saran ketengah, pelihara kampung tradisi
Walaupun Ibu Negeri Perak kini kiat pesat membangun, Ibrahim berharap pihak bertanggungjawab dapat memelihara kampung-kampung tradisi yang ada di sekitarnya.
Ujar beliau, penempatan itu dilihat berpotensi besar untuk dibangunkan serta ditonjolkan sebagai salah satu produk pelancongan dengan mengekalkan identiti di setiap kampung.
“Kita boleh memulakan usaha ini dengan membangunkan Kampung Kepayang di Fair Park sebagai kampung lestari ataupun sebagaimana di Kampung Morten di Melaka.
“Ini kerana sifat kampung tradisi itu sama, iaitu kedua-duanya berusia lebih dari 100 tahun selain berada berhampiran dengan sungai. Usaha ini sememangnya harus dilihat dengan serius,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga berharap semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memastikan tidak wujud pertelingkahan fakta sejarah tentang pembentukan dan pembangunan Bandar Raya Ipoh.
Ibrahim berkata, masyarakat juga seharusnya tidak terjerat dengan pemesongan fakta sejarah pihak tidak bertanggungjawab yang kadang kala diselitkan dengan elemen perkauman atas tujuan kepentingan peribadi.
“Pemimpin politik harus bertanggungjawab untuk tidak menyebut sesuatu tentang sejarah Ipoh tanpa merujuk kepada fakta sebenar. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan masyarakat.
“Selain itu, pihak penyelidik pula seharusnya untuk tidak bersifat berat sebelah dalam menilai sesuatu fakta. Misalnya kita tidak boleh mengatakan Ipoh dibangunkan satu-satu pihak sahaja, sebaliknya ia dibangunkan bersama-sama oleh semua pihak,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keindahan alam semula jadi batu kapur potensi besar Negeri Perak