KAMU 2025 tumpu TVET, tampil bakat belia Orang Asli

IPOH – Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 menampilkan kelainan dengan memfokuskan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada program yang akan diadakan Stadium Indera Mulia di sini pada 20 dan 21 September ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, bagaimanapun karnival kerjaya yang pernah diadakan pada penganjuran tiga edisi sebelum ini masih dikekalkan.

“Sebelum ini, kita hanya membuka peluang pekerjaan pada karnival kerjaya dengan membawa syarikat dari sektor swasta untuk menawarkan peluang pekerjaan dan ia diteruskan pada edisi kali ini.

“Jadi kali ini, kita cuba bawa yang baru. Kita hendak mengajak anak-anak muda untuk menyertai kursus-kursus TVET.

“TVET akan membantu anak muda untuk terus menjadikannya sebagai satu kerjaya dan boleh memberi pendapatan yang cukup lumayan kepada mereka,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media KAMU 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hamidi memaklumkan beberapa ikon anak muda Perak dalam TVET akan ditampilkan pada karnival tersebut.

“Bertemakan ‘Meraikan Bakat Muda Perak‘ penganjuran KAMU 2025 bertujuan untuk mengiktiraf potensi dan kreativiti belia Perak sebagai aset negeri berharga.

“Antara program utama yang dijangka mendapat perhatian termasuk Kayuhan Perak Sejahtera 2030, AIM TVET bersama Menteri Besar Perak, Pekan Pop-Up @ KAMU 2025, Perkhidmatan Gunting Rambut Percuma, Jom Healing Anak Muda serta Malam Taqarrub bersama Anak Muda.

“Pada tahun ini turut menampilkan program khusus buat Orang Asli seperti Battle of the Band dan Bola Sepak 9 Sebelah.

“Anak muda juga berpeluang menyerlahkan bakat melalui pertandingan fotografi, pertandingan breakdance, Drum Battle serta Peragaan Busana Tradisional,” ujarnya.

Katanya, acara kemuncak adalah majlis penutup akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan muzik popular tanah air seperti Bunkface, Floor 88 dan I Am Neeta.

Dijangka lebih 100,000 pengunjung akan memeriahkan karnival yang berlangsung selama dua hari itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

BIM Challenge 2025 perkasa inovasi, kemahiran digital pelajar TVET

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI