KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866 dengan tumpuan kepada isu-isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, di bawah perundangan subsidiari itu, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 13 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
Selain itu katanya, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka.
Seterusnya, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka, pemberi perkhidmatan akan dikehendaki untuk menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.
“Kesemua undang-undang yang telah digubal ini adalah usaha berterusan Kerajaan memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, terutamanya untuk kanakkanak dan keluarga serta golongan rentan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sam ada Kementerian Komunikasi bersedia untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain.
Fahmi menambah, beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
Katanya, langkah itu bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan
pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan
algoritma.
“Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.
“Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan, termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibu/bapa/penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat.
“Kerajaan juga telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan,” katanya. – MalaysiaGazette


