BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Alor Pongsu Kampung Matang Jelutong, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu berlaku apabila empat orang termasuk kanak-kanak berusia lima tahun yang menaiki motosikal itu dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Persona.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, motosikal yang dinaiki mangsa bersama-sama tiga yang lain terbabas ke dalam parit.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar jam 9.41 malam.
“Sejurus tiba di lokasi anggota bertugas mendapati ketiga-ketiga mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar, manakala seorang wanita dewasa dibawa oleh EMRS Bomba ke hospital sama.
“Empat mangsa terbabit melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun, seorang remaja lelaki 14 tahun, seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun dan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan ringkas malam tadi.
Tambahnya, pihaknya dimaklumkan kanak-kanak perempuan yang terbabit dalam kemalangan itu disahkan meninggal dunia di hospital.
Operasi yang diketuai Komander Operasi, Muhammad Khalid Mohd Idris itu tamat sepenuhnya pada jam 10.10 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Kanak-kanak lima tahun maut, tiga cedera motosikal masuk parit […]