Kanak-kanak maut, tujuh cedera kemalangan di Bagan Datuk

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan pisang dan sebuah kereta di Parit 10, Jalan Sungai Sumun, dekat Bagan Datuk petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang menerima panggilan kecemasan pada 2.21 petang sebelum jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian.

“Kemalangan tersebut antara sebuah lori satu tan yang membawa muatan pisang dengan sebuah kereta jenis Kia Cerato melibatkan lapan mangsa keseluruhan.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki dewasa berusia 27 tahun tersepit di bahagian pemandu kereta, manakala mangsa lain telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata dua mangsa di dalam lori terdiri daripada seorang lelaki warga Pakistan berusia 35 tahun dan wanita tempatan berusia 41 tahun hanya cedera ringan.

“Enam mangsa dalam kereta yang kesemuanya warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki berusia 27 tahun, seorang wanita 25 tahun, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, remaja lelaki berusia 13 tahun serta bayi perempuan berusia empat bulan yang kesemuanya mengalami kecederaan parah.

“Manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Sabarodzi berkata kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Sabarodzi, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.52 petang dan ditamatkan pada 5.18 petang.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI