IPOH – Polis telah merakam keterangan daripada seorang guru bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak prasekolah berusia enam tahun yang didakwa dipukul di sebuah sekolah di Jelapang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia 30an itu telah tampil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh pada 8 dan 14 Disember tahun lalu, serta 16 Januari.
“Siasatan kes dijalankan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk tindakan dan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, selain guru terlibat, pihaknya telah memanggil guru di kelas lain untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Abang Zainal Abidin berkata, sebelum itu pihaknya telah menerima tiga laporan polis daripada seorang wanita berusia 41 tahun dengan mendakwa anak lelakinya dipukul seorang guru.
“Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan menyatakan telah melihat kesan biru pada tapak tangan kanan anaknya, dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa telah dipukul oleh guru di sekolah.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan tanpa lebam,” jelas beliau.
Justeru beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang melangkaui undang-undang.
Malah kata beliau, mereka juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
Terdahulu seorang ibu tunggal mendakwa anaknya mengalami kecederaan pada anggota badan akibat didera oleh seorang guru wanita prasekolah di sebuah sekolah di Jelapang, dekat sini sejak September lalu.
Wanita itu mendakwa selain beberapa kecederaan fizikal, anak tunggalnya itu turut mengalami gangguan emosi sehingga tidak mahu hadir ke sekolah, susulan insiden itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan: