Karnival Cakna Digital, perluas literasi teknologi digital rakyat

LENGGONG – Karnival Cakna Digital memberi penekanan kepada penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab melalui latihan praktikal serta sesi interaktif, supaya masyarakat bukan sahaja tahu menggunakan teknologi, tetapi juga mampu melindungi diri dan keluarga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program seperti Kelas e-Dagang Desa, Pertandingan Kreatif Digital serta Sudut Digital untuk Warga Emas mencerminkan pendekatan yang inklusif, memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk belajar secara berperingkat, tanpa rasa terpinggir atau terbeban.

Menurutnya, kerajaan negeri berpandangan bahawa transformasi digital tidak boleh berlaku secara kebetulan, sebaliknya mesti disusun secara terancang, berpaksikan kepada keperluan sebenar rakyat.

“Perak mempunyai potensi yang besar, khususnya dalam sektor pertanian, perusahaan kecil dan sederhana serta pelancongan komuniti, sektor-sektor yang menjadi nadi kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

“Hakikatnya, ramai petani, penternak dan usahawan desa sudah mula memanfaatkan teknologi bagi memudahkan urusan dan meluaskan pasaran.

“Namun, kita juga sedar masih ada dalam kalangan masyarakat yang berasa ragu-ragu dan bimbang serta kurang pendedahan, kurang keyakinan, dan takut menjadi mangsa penipuan.

Karnival Cakna Digital, perluas literasi teknologi digital rakyat
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Karnival Cakna Digital @ Lenggong 2025 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 DISEMBER 2025.

“Keadaan inilah yang menuntut pendekatan yang membimbing, bukan memaksa; mendekatkan, bukan menekan. Apabila teknologi diterapkan secara bersesuaian dengan keperluan rakyat, urusan harian dapat dipermudah, produktiviti dapat ditingkatkan, dan masa serta tenaga dapat dijimatkan.

“Inilah roh dan nilai utama penganjuran Karnival Cakna Digital bagi memastikan manfaat teknologi dapat dirasai secara praktikal, mudah difahami, dan benar-benar dekat dengan kehidupan seharian masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Cakna Digital 2025 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar; Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Exco Pembangunan Wanita Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed.

Beliau menegaskan, seiring dengan perluasan penggunaan teknologi, aspek kefahaman dan keselamatan digital tidak boleh dipinggirkan.

“Apabila semakin ramai rakyat menggunakan perkhidmatan digital untuk urusan kewangan, perniagaan dan komunikasi, keupayaan melindungi diri daripada ancaman dalam talian menjadi semakin penting,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ancaman siber semakin meningkat, 5,735 insiden direkod

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI