IPOH – Penganjuran Karnival Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (IEIC) 2025 membuka ruang meneroka peluang baharu, menyemai semangat pembaharuan, mengukuhkan kerjasama rentas sempadan, dan menyuntik nafas segar dalam ekosistem pendidikan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, karnival bertemakan ‘Kreatif dan Inovatif: Pemangkin Masyarakat Madani’ itu berjaya menghimpunkan minda dan jiwa pendidik dari pelbagai latar.
“Semua yang terlibat ini disatukan oleh hasrat yang sama, iaitu menjadikan pendidikan sebagai wadah membina tamadun yang kreatif, inklusif dan mampan.
“Pada kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kepada Jawatankuasa Penganjur IEIC 2025 serta rakan strategik yang terlibat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Saarani pada Karnival IEIC 2025 di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini, pada Rabu.
Menurut Saarani karnival berkenaan melibatkan kerjasama Kolej Komuniti Chenderoh, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk); INTIM; Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh; Universiti Islam Bandung, Indonesia dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei.
Beliau berkata, gabungan strategik ini membuktikan bahawa inovasi tidak berlaku dalam ruang terasing sebaliknya lahir daripada semangat perkongsian pintar, kerjasama penyelidikan, dan keterbukaan terhadap idea baharu yang melangkaui sempadan negara, budaya dan sistem pendidikan.
“Malah, penyertaan secara dalam talian dari negara-negara serantau turut memperkukuh jaringan antara pendidik, inovator dan penggubal dasar, dalam memastikan pendekatan pendidikan kita kekal relevan, tangkas dan menyeluruh.
“Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan karnival ini. Usaha saudara-saudari adalah lambang komitmen kita terhadap masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Tambah Saarani, dalam dunia yang sentiasa berubah, kita tidak boleh kekal statik sebaliknya, perlu berani mencabar kebiasaan, berani berubah dan terus berinovasi bukan kerana ia mudah, tetapi kerana masa depan anak-anak. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030, Himpun 805 Mahasiswa Kelahiran Perak